Tuesday, March 16, 2010

Semoga Duat Tidak Larut di Medan Amal




Oleh: Dr. Ahmad Solah

Sungguhpun dakwah Islam adalah dakwah yang terbuka yang mengajak kepada perbincangan dengan semua pihak, menerima orang lain dan hidup atau bergaul bersama mereka walaupun berbeza pemikiran, ideology, pendapat malahan berbeza agama, tetapi pada waktu yang sama para duat dingatkan supaya membentengi diri dari apa jua ucapan muluk, tingkahlaku dan kebiasaan mereka yang boleh dikutip oleh para duat di sana sini. Disamping duat berusaha mengaplikasi amal dakwah di medan dengan mendekati masyarakat dan menyampaikan secara terbuka, duat juga hendaklah menetapkan pendirian dan tegas dengan tugas dakwah.

Namun akan ada duat yang kehilangan jati diri sebagai peribadi muslim yang kekuatannya berpaksikan daripada Islam, aqidah, ajaran dan prinsipnya. Akan ada duat yang melangkaui garis pemisah antara dakwah yang terbuka ke atas semua orang hingga boleh sehaluan dengan mereka dalam hal persefahaman dan juga duat yang terkesan dengan tingkahlaku dan pemikiran mereka. Di sini wujud permasalahan yang perlu dikenalpasti dengan bersungguh-sungguh. Oleh itu tajuk perbincangan yang ingin saya utarakan ialah para duat larut di medan.

Ketahuilah seorang dai yang larut atau cair di medan atau dalam masyarakat sudah pasti identitinya akan hilang dan keperibadiannya akan lemah. Kelemahan ini akan menyebabkan dakwah akan bertukar kepada sibuk membetulkan dirinya sendiri. Akhirnya dakwahnya kurang sokongan, kurang berkesan dan tidak berjaya.

Sungguhpun di permulaan dakwah Raslullah jumlah muslimin hanya disertai beberapa kerat sahaja malah boleh dikatakan setelah tiga belas tahun dakwah di Mekah jumlah mereka belum begitu ramai. Namun mereka berpengalaman di medan, mempunyai kemahiran, bijak mendepani masyarakat, memahami intipati dan kehendak risalah sehingga dalam urusan kekeluargaan (sebelum turun syariat tertentu tentang perkahwinan dengan bukan Islam).

Ada sahabat yang hidup bersama bapa dan adik beradik yang masih kafir. Tetapi para sahabat berkelakuan baik dengan kedua ibubapa mereka dan bergaul mesra dengan saudara mereka, menyeru rakan-rakan dan keluarga. Namun demikian dengan kekuatan aqidah dan keimanan menjadikan mereka teguh bersama iman tanpa tergelincir atau terpesonana dengan gaya hidup masyarakat atas apa juga nama dan alasan. Bahkan dengan keberanian dan kekuatan peribadi menjadi mereka tidak larut di tengah-tengah medan sedangkan di situlah tanggungjawab dakwahnya, di situlah perubahan yang ingin dilakukan dan seterusnya mencapai ketinggian yang diidamkan.

Lebih sukar dari itu ialah pendirian kaum muslimin ketika hijrah ke Habsyah. Mereka berhadapan dengan suasana hidup yang asing malah aqidah yang asing. Kadangkala keadaan yang asing begitu menyebabkan seorang itu lemah dan melenturkan kemahuannya, mengubah kefahaman dan pendiriannya. Mungkin bermula dengan menerima atau bertolak ansur dengan kemerosotan jati diri duat dan amal dakwah satu per satu. Namun setelah berlalu beberapa tahun di bumi Habsyah suasana di sana tidak berjaya mengubah agama kaum muslimin, melunturkan pegangan dan kepercayaan mereka atau menggoncangkan pemikiran mereka. Hal ini kerana mereka sentiasa mengingati bahawa mereka adalah pendokong risalah kepada dunia. Mereka datang untuk mengubah dunia bukan dunia yang mengubah mereka. Mereka kekal dengan pendirian tersebut sehinggalah Rasulullah mengizinkan mereka kembali ke Madinah.
Bentuk-bentuk kecairan yang berlaku

Setengah duat tidak menyedari garis pemisah antara dakwah keterbukaan dalam masyarakat dan dakwah yang larut. Oleh kerana itu dengan cepat ada duat yang larut dengan persekitaran ke atas tingkahlaku dan pemikiran yang tidak menepati kehendak dakwah dan identity dirinya sebagai duat. Kita tinjau beberapa kecairan berikut:

Pertama: Istilah

Segolongan pendakwah terpengaruh dengan gaya hidup masyarakat luar yang gemar menuturkan istilah-istilah yang tidak sesuai diucapkan oleh duat. Sewajarnya bagi duat menentangnya dengan ilmu pengetahuan dan dan mempamerkan keteguhan keperibadian. Namun suatu yang menyedihkan ialah kita dapati sebilangan duat muda yang menuturkan istilah asing ini dan menyampaikan dalam ucapannya samada bersama rakan-rakannya atau lainnya.

Sewajarnya seorang dai berhati-hati apabila bertutur di hadapan rakan-rakan dengan menunjukkan pertuturan yang sopan dan berakhlak. Kerana sesungguhnya Allah mengangkat darjat duat ke taraf yang tertinggi kerana dai ialah golongan yang menerangi jalan dan memimpin manusia kepada Allah. Sebagaimana Firman Allah:

“Sesungguhnya kami mengutusmu untuk jadi saksi, dan pembawa khabar gembira dan pemberi peringatan. Dan untuk jadi penyeru kepada agama Allah dengan izin-Nya dan untuk jadi cahaya yang menerangi”. (Al-Ahzab: 45-46)

Kedua: Kelakuan

Tidak mungkin tergambar perihal seorang pemuda yang beriltizam dengan dakwah sanggup menerima pelawaan rakan-rakannya yang mengajak menonton wayang di panggung atau duduk bersembang-sembang dan bergelak ketawa di warung kopi dengan alasan mendekati dan merapati mereka. Dalam hal ini seorang pendakwah mestilah ada garis pemisah dengan mempamerkan sikap tegas dan sikap lemah lembut tanpa memutuskan ikatan persahabatan dan kasih sayang dengan rakan.

Hal ini telah menjatuhkan reputasi pendakwah dan menjauhkannya dari prinsip kebajikan yang dianjurkan oleh Islam sedangkan Allah telah muliakan umat Muhammad kerana memelihara prinsip itu seperti yang dinyatakan dalam firman Allah:

“Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma'ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah. sekiranya ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka, di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik”. (Ali Imran: 110)

Contoh kecairan di medan yang paling jelas ialah soal perkahwinan. Setengah pendakwah menyeru agar dipermudahkan urusan perkahwinan di kalangan pemuda tetapi mempedulikan mereka dalam soal pembinaan rumahtangga muslim. Timbul konflik apabila didapati diri pendakwah lemas dalam masyarakat yang sepatutnya mereka mempamerkan contoh yang hidup bagi membetulkan adat-adat jahiliyah yang berlaku akibat dari kejahilan masyarakat tentang hukum-hakam agama, khasnya dalam majlis-majlis perkahwinan seperti hiburan dan persandingan.

Ketiga: Pemikiran

Di zaman langit terbuka dan internet telah menukar dunia kelihatan bagaikan sebuah kampung yang kecil. Berbagai pemikiran telah meresapi manusia tanpa batas dan kawalan. Dengan itu kita mestilah berterusan menapis sebarang pemikiran yang datang dan kita memperkenalkan Islam dengan segala prinsip, pengetahuan dan batas-batasnya tanpa kita terpesona dengan pemikiran rosak serta menapis maklumat dan mengetahui kesan dan bahayanya. Sebagai contoh pemikiran liberal dan pemikiran yang melampau dalam isu perkauman yang didokong oleh segolongan umat telah mempengaruhi pemikiran masyarakat masa kini. Pemikiran yang dibawa terseleweng dari asas kebenaran.

Oleh itu bagi para duat sewajarnya bertindak menapis maklumat yang diterima menurut kacamata kebenaran yang bersumberkan ajaran Islam yang sebenar. Bahkan duat perlu menjawab isu-isu terkini yang bertentangan dengan Islam dengan kadar segera sebelum ia meresapi pemikiran masyarakat.

Bagaimana pendakwah menghadapi kecairan di medan?

Bagi pendakwah hendaklah mempersiapkan diri dengan tiga senjata yang akan membentengi diri ketika berhadapan dengan masyarakat atau ketika di medan tanpa terkesan dengan anasir-anasir negatif. Antaranya:

Pertama: Ruh keimanan yang tinggi

Mempraktikkan kekuatan iman dan hubungan dengan Allah akan menjadi benteng yang kukuh melawan kecairan di medan. Justeru beriltizam dengan ibadah seperti solat berjamaah, solat sunat nawafil, tilawah al-Quran, berzikir dan berpuasa sunat menyebabkan Allah memberi benteng kepada muslim menghadapi mana-mana pemikiran negatif yang merosakkan. Hal ini memudahkan pendakwah menentang pemikiran tersebut yang dibantu oleh keutuhan iman yang menjadikannya sentiasa melihat Allah dalam semua perkara dan menjadikannya sentiasa dalam basirah ke atas apa yang dilihat atau didengar. Seterusnya Allah mengurniakan hidayah dan tidak menyesatkan atau menyusahkannya. Firman Allah:

“Dan orang-orang yang mahu menerima petunjuk, Allah menambah petunjuk kepada mereka dan memberikan balasan ketaqwaannya ”. (Muhammad: 17)`

`Kedua: Kekuatan peribadi

Pendakwah tidak mungkin terkesan dengan orang disekelilingnya melainkan jika memandang remeh keperluan peribadi yang teguh. Pendakwah juga tidak akan menurun prestasinya atau dikritik kerana perbuatan-perbuatan salah atas dakwaan sempit dan memalukan, atau atas alasan banyak kritikan menenggelamkan sifat berani. Keteguhan peribadi bukan bererti taasub pada diri dan bukan memberi pelbagai alasan yang berterusan, tetapi ia bererti memulakan pandangan kamu dengan yakin dan tenang dan memulakan dengan ilmu dan keupayaan untuk berbincang dan berpegang teguh dengan perkara yang benar tentang apa yang dilihat sekalipun berhadapan dengan tekanan.

Pun begitu pendakwah memahami di hadapan sana mengandungi garisan merah di dalam pergaulan yang tidak boleh di langkah kerana bertentangan perkara yang diimani tentang perintah-perintah dari ajaran Islam. Mengimani bahawa keredhaan Allah mengatasi keredhaan rakan-rakan. Kebijaksanaan seorang pendakwah menjadikannya menyampaikan risalah kepada orang di sekelilingnya dengan penuh kasih sayang, lemah lembut dan ketenangan dengan tujuan supaya hubungan baik dengan mereka terus terpelihara. Ini kerana jikalau hubungan tersebut terputus akan menggagalkan dakwahnya.

Ketiga: Ilmu pengetahuan

Sebagai pendakwah saudara mampu meneruskan agenda dakwah di lapangan masyarakat dengan pelbagai teknik dan idea, dan dalam masa yang sama saudara memelihara jatidiri dan keperibadianmu yang beriltizam dengan Islam dan tidak bertolak ansur dalam menunaikan hak Allah. Saudara mestilah memperlengkapi diri dengan ilmu syarak. Kemudian dipadukan ilmu ini dengan pembacaan yang luas dalam pelbagai bidang. Pengetahuan am akan menjadikan saudara mampu berhadapan dengan apa jua isu. Bahkan saudara mampu merungkai permasalahan dan berbahas dengan yakin dan kemas. Ini memudahkan orang lain menerima pendapat saudara sekalipun bercanggah dengan pendapat mereka. Justeru kerana saudara bercakap berdasarkan ilmu dan kajian. Lantas mereka menghormati pertentangan pendapatmu dengan pendapat mereka malah pada waktu yang sama mereka mendengar dakwah saudara tanpa timbul perasan marah. Firman Allah:

“Katakanlah: "Inilah jalan (agama) ku, Aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada Allah dengan hujjah yang nyata, Maha Suci Allah, dan Aku tiada termasuk orang-orang yang musyrik".(Yusof: 108)

Sesungguhnya pendakwah yang cekap adalah orang yang membuat benteng yang melindunginya daripada virus-virus masyarakat seumpama seorang doktor yang merawat penyakit dalam masyarakat akibat wabak yang tersebar tetapi pada waktu yang sama memberi perhatian kepada bahaya virus ini agar tidak menjangkiti dirinya pula.

http://www.ikhwanonline.com/Article.asp?ArtID=60535&SecID=363
Share this post
  • Share to Facebook
  • Share to Twitter
  • Share to Google+
  • Share to Stumble Upon
  • Share to Evernote
  • Share to Blogger
  • Share to Email
  • Share to Yahoo Messenger
  • More...

0 ulasan

Sila berikan komen anda

 
© 2011 Zadud-Duat | 2012 Templates
Designed by BlogThietKe Cooperated with Duy Pham
Released under Creative Commons 3.0 CC BY-NC 3.0
Posts RSSComments RSS
Back to top