Thursday, December 30, 2010

Siapakah mereka yang dagang?


Oleh: Dr. Ahmad Hassan

Hadith nabi yang dikeluarkan oleh Imam Muslim daripada Abu Hurairah r.a berkata: Rasulullah saw telah bersabda:

Sesungguhnya Islam bermula dalam keadaan dagang atau asing, ia akan kembali menjadi dagang seperti mula dahulu. Maka berungtunglah orang yang menjadi dagang.

Justeru siapakah orang yang dagang?..Mereka adalah orang yang berbeza dengan manusia lain. Mereka adalah orang yag berpegang teguh dengan manhaj Islam yang sebenar ketika ramai manusia yang mengabaikannya. Mereka adalah orang yang mempertahankan sunnah ketika manusia mengengkarinya. Mereka adalah orang yang memahami hakikat Islam dan kesederhanaan dakwahnya ketika manusia jahil tentangnya. Mereka adalah orang yang beristiqamah di atas jalan ketika manusia menyimpang darinya.

Ketika Rasulullah ditanya: Siapakah orang yang dagang? Nabi menjawab? Orang-orang yang melakukan kerja pembaikan apabila manusia telah rosak.

Di dalam riwayat lain nabi bersabda:

Orang-orang yang melakukan kerja membaiki apa yang telah dirosakkan manusia selepas ku seperti merosakkan sunnahku.

Di dalam satu riwayat:

Manusia yang solih  sedikit berbanding manusia yang majoritinya buruk. Orang yang melakukan maksiat lebih ramai daripada orang taat.  

Saya ingin menambah wahai saudaraku.. sesungguhnya keadaan dagang adalah sifat para nabi dan sunnah para rasul. Adakah anda pernah mendengar firman Allah swt:

“Sesungguhnya Ibrahim adalah seorang imam yang dapat dijadikan teladan lagi patuh kepada Allah”. (An-Nahl: 120)

Ertinya hanya baginda seorang sahaja yang muslim sedangkan semua yang ada di muka bumi masih kafir. Menurut Ibn Abbas r.a: Supaya orang yang membawa kebenaran tidak berasa janggal ketika merasa diri mereka berseorangan, maka umat menjadikannya sebagai contoh teladan. Firman Allah:

“Maka tidak lain jawaban kaumnya melainkan mengatakan: "Usirlah Luth beserta keluarganya dari negerimu; Karena Sesungguhnya mereka itu orang-orang yang (menda'wakan dirinya) bersih”. (An-Naml: 56)

“Pemuka-pemuka dan kaum Syu'aib yang menyombongkan dan berkata: "Sesungguhnya kami akan mengusir kamu Hai Syu'aib dan orang-orang yang beriman bersamamu dari kota kami, atau kamu kembali kepada agama kami". Berkata Syu'aib: "Dan apakah (kamu akan mengusir kami), kendatipun kami tidak menyukainya?" (Al-A’raf: 88)

Dan nabi Muhammad saw juga berkeadaan dagang semasa berada di Mekah. Orang-orang kafir berkata seperti yang diungkapkan dalam firman Allah:

“Mengapa ia menjadikan tuhan-tuhan itu Tuhan yang satu saja? Sesungguhnya Ini benar-benar suatu hal yang sangat mengherankan.”. (Shad: 5)

Lalu baginda telah berhijrah ke Madinah bersama para sahabatnya. Tentu anda dapat menyelami makna dagang semasa perjalanan hijrah ini, Ketika itu kaumnya merancang untuk menangkap dan membunuhnya. Firman Allah swt:

“Dan (ingatlah), ketika orang-orang kafir (Quraisy) memikirkan tipu daya terhadapmu untuk menangkap dan memenjarakanmu atau membunuhmu, atau mengusirmu. mereka memikirkan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya itu. dan Allah sebaik-baik pembalas tipu daya”. (Al-Anfal: 30)

Di dalam al-Quran banyak ayat yang membicarakan tentang keadaan orang-orang beriman yang sedikit. Mereka pada hakikatnya adalah dalam keadaan dagang. Firman Allah swt:

“kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal yang saleh; dan amat sedikitlah mereka ini". (Shad: 24)

“dan tidak beriman bersama dengan Nuh itu kecuali sedikit”. (Hud: 40)

“Dan sebahagian besar manusia tidak akan beriman - walaupun kamu sangat menginginkannya”. (Yusof: 103)

“tapi kebanyakan manusia tidak menyukai kecuali mengingkari (Nya).”. (Al-Isra’: 89)

“dan sedikit sekali dari hamba-hambaKu yang berterima kasih”. (Saba’: 13)

“Dan jika kamu menuruti kebanyakan orang-orang yang di muka bumi ini, niscaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah”. (Al-An’am: 116)

“Dan sebahagian besar dari mereka tidak beriman kepada Allah, melainkan dalam keadaan mempersekutukan Allah (dengan sembahan-sembahan lain).”(Yusof: 106)

Saudaraku di jalan Allah..janganlah kalian berdukacita kerana keadaan mu yang dagang semasa bersama kaummu. Ini adalah sunnah Allah kepada para penggerak perubahan. Justeru percayalah bahwa kalian berada di atas jalan para nabi dan rasul.

Salah faham dan jawapan

Mereka mendakwa bahawa selagi keadaan dagang itu berlaku pada zaman yang telah lenyap nilai-ilai murni, maka beruzlah (memisahkan diri) menjadi wajib dan dituntut.  

Perkara yang sebenarnya bukan begitu, kerana menyeru manusia kepada kebaikan ialah salah satu jalan untuk menghilangkan keadaan yang dagang atau asing. Ini kerana menambah bilangan orang yang bertakwa dan berpegang teguh dengan agama akan membuatkan pendokong kebatilan akan menjadi dagang atau asing pula di tengah-tengah pendokong kebenaran. Inilah yang sepatutkan dilakukan oleh setiap muslim yang faham.

Dengarlah kepada sabda nabi saw:

“Orang yang mendekati manusia dan menanggung kesabaran di atas penyiksaan mereka lebih baik dari orang yang tidak mendekati manusia dan tidak sanggup menanggung kesabaran di atas penyiksaan mereka”. (Tirmizi)

Jenis dagang

1.      Dagang di muka bumi
Ini ialah dagang tubuh badan yang merupakan dagang secara fizikal seperti kita merantau ke suatu tempat yang asing. Ia tidak termasuk dalam topic yang kita bincangkan.

2.      Dagang kerana agama.
 Inilah perbincangan kita hari ini. Apa yang saya maksudkan wahai saudaraku yang dikasihi ialah sebuah hadith nabi saw yang dikeluarkan oleh Imam Bukhari daripada Ibn Umar r.a:

“Rasulullah telah memegang dua belah bahuku sambil bersabda: “Jadilah kamu di dunia ini seolah-olah kamu seorang dagang (asing) atau sebagai seorang yang melalui satu jalan”. Lalu Ibn Umar  berkata:  “Apabila kamu berada di waktu petang, janganlah kamu menunggu waktu pagi. Dan jika kamu berada di waktu pagi, janganlah kamu menunggu waktu petang. Manfaatkanlah kesihatanmu sebelum sakitmu dan hidupmu sebelum datang kematianmu”.

Inilah keadaan dagang dari segi akhlak pada ketika para penggerak perubahan dihina dan penggerak kerosakan dimuliakan.

Inilah keadaan dagang bagi pendokong Islam yang berada di tengah-tengah pendokong agama lain.

Inilah keadaan dagang bagi kita sebagai pendokong dakwah yang sederhana yang berada di tengah-tengah masyarakat Islam.

Inilah keadaan dagang bagi pendokong sunnah yang berpegang teguh dengannya di tengah-tengah pendokong bidaah dan kesesatan .

Inilah keadaan dagang dari segi akhlak. Bukankah kalian pernah mendengar sabda nabi saw:

Akan tiba suatu zaman ke atas manusia yang penuh penipuan. Di mana ia membenarkan orang yang dusta, mengatakan dusta kepada orang yang benar. Mengatakan amanah kepada orang yang khianat dan mengatakan khianat kepada orang yang amanah. (Ahmad dan Hakim)

Bukankah kalian pernah mendengar sabda nabi saw:

Akan tiba suatu masa di mana manusia saling berjanji setia kerana hampir-hampir tiada seorangpun yang menunaikan amanah sehingga ada yang berkata: Di dalam keluarga si fulan ada lelaki yang amanah.  (Muttafaq Alaih)

Saya ingin menambah satu hadith:

Kiamat tidak akan berlaku sehingga mereka saling terpegun semasa mereka berada di jalanan kerana melihat sesuatu sama seperti mereka terpegung kepada seekor keldai (yang cantik).  (Tabrani)

Inilah suasana dagang ketika permulaan Islam dan akan berakhir dengan dagang pada akhir zaman nanti selepas muncul Isa al-Masih, dan fitnah Dajjal, selepas keluar Yajuj dan Majuj dan Allah utuskan angin yang meragut semua nyawa orang mukmin sehingga tiada lagi muslim yang tinggal.  

Walaubagaimanapun saya ingin sampaikan berita gembira wahai saudaraku yang dikasihi, tidak akan berlaku keadaan dagang bagi Islam di muka bumi seluruhnya sebelum muncul tanda-tanda Kiamat yang besar berdasarkan firman Allah:

“Dia-lah yang mengutus rasul-Nya dengan membawa petunjuk dan agama yang benar agar dia memenangkannya di atas segala agama-agama meskipun orang musyrik membenci”. (As-Shoff: 9)

Rasulullah saw telah bersabda:

“Sentiasa akan ada sekelompok dari umatku yang sentiasa berjuang bersama-sama kebenaran, mencabar dan menentang musuh-musuh mereka. Musuh-musuh mereka tidak dapat memberi mudarat kepada mereka sehingga Allah mendatangkan keputusannya.Mereka tetap dalam keadaan demikian.” (Ahmad)

Kesudahan orang yang dagang

Kemungkinan kalian telah mengetahui wahai saudaraku yang dikasihi dan sebagai seorang dagang bahawa Allah telah menyampaikan berita gembira melalui lisan nabiNya Muhammad saw:

Maka beruntunglah (berbahagialah) orang yang dagang.

Firman Allah juga:

“Orang-orang yang beriman dan beramal saleh, bagi mereka kebahagiaan dan tempat kembali yang baik.”. (Ar-Ra’du: 29)

Begitu juga sabda nabi saw:

Berbahagialah kerana besarnya pohon di syurga menyamai berjalan selama seratus tahun dan pakaian ahli syurga keluar dari lengannya. (Abu Daud dan Tirmizi)

 Apakah jalan untuk memperolehi keuntungan itu?

1.      Berasa mulialah dengan keadaan dagangmu kerana ia suatu yang terpuji. Benar ianya terpuji kerana menyamai dagangnya perjuangan para nabi dan rasul.

2.      Menyanggahi kefahaman yang silap bahawa selagi berada di zaman yang dagang maka lebih baik memisahkan diri dari kerosakan. Tidak benar, kerana Islam telah bermula dalam keadaan dagang atau asing, kemudian masih dagang, kemudian kembali dagang sekali lagi dan masih dagang untuk kali kedua seperti yang pertama.

3.      Mencapai kesempurnaan iman dan mengikat hati dengan Allah kerana ianya merupakan akidah dan kefahaman yang benar dan sejahtera.

4.       Dirikan Negara Islam pertama-tama di dalam hatimu dan laksanakan syariat Islam di dalam keluargamu. Memerintahkan orang lain melaksanakannya adalah perkara kedua. Oleh yang demikian kalian tidak akan merasa janggal menjadi dagang dalam keadaan sekarang. Bukankah Allah telah berfirman:
Wahai orang-orang yang beriman, tetaplah beriman kepada Allah dan rasul-Nya dan kepada Kitab yang Allah turunkan kepada rasul-Nya. (An-Nisa: 136)

5.      Bekerjalah bersama saudaramu di jalan Allah..kerana bersama mereka dan dengan mereka akan menghilangkan rasa dagang atau asing.  Saya bersaksi dengan keagungan Allah bahawa semasa saya bersama saudara-saudara saya di jalan Allah maka saya merasa tenang dan lapang dada..Mereka berada di atas jalan yang sama denganmu..sama dengan kefahamanmu..sama di atas manhajmu. Kepada Allah Ibn Qayyim al-Jawziyyah berserah sambil berkata: Apabila kami merasa sempir dada, bersangka buruk serta dunia menjadi gelap, maka kami segera mendapatkannya (iaitu gurunya Syaikhul Islam Ahmad bin Taimiyah). Tidaklah kami melihatnya, duduk bersamanya dan mendengar nasihatnya  melainkan kesempitan kami menjadi lapang dan kedukaan kami menjadi kegembiraan!! Saya telah merasai makna perkataan-perkataan ini bersama saudara-saudaraku di jalan Allah kerana bersama mereka dan dengan mereka keadaan dagang menjadi lenyap.

Kesudahan bagi kita ialah pujian hanya bagi Allah. Selawat dan salam ke atas Rasulullah, keluarganya dan sahabatnya.   

Share this post
  • Share to Facebook
  • Share to Twitter
  • Share to Google+
  • Share to Stumble Upon
  • Share to Evernote
  • Share to Blogger
  • Share to Email
  • Share to Yahoo Messenger
  • More...

2 ulasan

  1. TQ kerana mengusahakan terjemahan artikel ini untuk dimanfaatkan.

    Sedikit Pembetulan: berungtunglah sewajarnya beruntunglah.

    ReplyDelete

Sila berikan komen anda

 
© 2011 Zadud-Duat | 2012 Templates
Designed by BlogThietKe Cooperated with Duy Pham
Released under Creative Commons 3.0 CC BY-NC 3.0
Posts RSSComments RSS
Back to top